(Catatan pengalaman salah seorang sukarelawan AnsarCARE)

Selepas menunaikan solat subuh, aku tidak bercadang hendak menunaikan kewajipan tidurku. Mungkin kerana aku perlu persiapkan diri untuk ke Ansarcomp kerana perlu mengagihkan kotak barangan dapur kepada yang memerlukan. Aku, Ain dan Aisyah sampai di Ansarcomp pada pukul 8.30. Krew-krew ansar care juga ada disana untuk menolong pengagihan kotak-kotak asnaf. Lebih kurang 80 kotak akan diagihkan kepada asnaf dan kotak tersebut untuk diagihkan kepada 3 tempat iaitu Sg.rasau, Padang Jawa dan Batang kali.

Sampai di Padang Jawa, aku melihat para asnaf sudah menunggu di dalam masjid. Aku lihat mereka ada yang mengandung, ada yang berkerusi roda dan ada juga yang sudah tua uzur. Hati aku terfikir cumalah satu, apa pekerjaan diorang? Memang tak dapat dinafikan yang susah sikit nak hidup kat bandar kalau gaji cuma RM1500 kebawah. Tambah lagi kalau ada ramai anak, memang sakit banyak nak hidup. Aku hidup adik beradik 13 orang dan aku faham perasaan mereka camne.

Selepas pendaftaran dibuat, nama satu per satu disebut. Mereka ambil kotak agihan dan juga duit sumbangan hasil kutipan ansarCare. Ada yang menangis. Aku juga jadi sebak melihat mereka. Tangisan mereka bersebab. Pada hemat aku, tangisan tu seperti ada dua perasaan – sedih dan gembira. Mungkin sedih dengan nasib dia dan mungkin gembira sebab ada yang sudi menolong dia. Entahlah.

Kotak-kotak pengagihan aku tenung lama. Terfikir. Paling lama pon boleh tahan satu bulan. Satu anisiatif kena dibuat untuk mereka. Satu anisiatif jangka panjang. Teringat satu pepatah omputeh tu, dia kata kalau nak tolong orang dapatkan ikan, jangan bagi ikan tapi bagilah orang tu joran untuk dia memancing. Kalau bagi ikan, ikan akan habis dan dia akan minta ikan lagi, tapi kalau bagi joran dia akan pergi memancing untuk dapatkan ikan. Silap-silap haribulan, dia pulak bagi ikan kat kita. Aku pernah terfikir anisiatif jangka panjang aku kepada mereka ni. Aku bercadang nak kaitkan waste management dan golongan-golongan seperti mereka. Mungkin mereka boleh menjana pendapatan mereka dengan membuat kraf tangan menggunakan bahan buangan seperti kain baju yang tidak digunakan. Insyallah.

Dalam pukul 2 petang, kami bersurai mengikut tempat kami masing-masing. Sesampai je kat rumah, aku terus melandingkan badan aku atas katil. Siling rumah aku tenung lama. Bukan gila atau buang tebiat tapi memikirkan mereka dan yang senasib dengan mereka. Aku percaya masih ramai lagi insan di luar sana yang memerlukan sokongan dari masyarakat tidak kira dari sudut kewangan dan motivasi. Aku harap agar nasib mereka terbela dan tidak dipergunakan oleh sesetengah individu untuk kepentingan sendiri.

Semoga AnsarCare boleh menjadi platfom untuk aku lebih mendekatkan diri kepada golongan sebegini. Paling tidak pun aku ingin mendengar cerita dan keluhan mereka menggagahkan diri untuk kelangsungan hidup. Mungkin aku takde harta untuk diberi, tapi aku ada jiwa untuk untuk diwakafkan kepada mereka. Insyallah.

                                                                                                                        Hafifah Hassan