Kita pernah diberitakan seorang bapa mencuri susu di pasaraya untuk anaknya. Begitu juga sering kita dengar tabung masjid dipecah demi meneruskan kelangsungan hidup. Tapi itu cerita lama. Dengan kecanggihan teknologi, kini contoh kebajikan dari negara asing mudah untuk kita contohi. Hanya menanti keringanan tangan dan kelembutan hati, untuk menghulurkan bantuan.

Sejarah FoodBank bermula di barat apabila pihak gereja yang banyak berinteraksi dengan masyarakat awam mengagihkan makanan kepada penduduk yang mengalami masalah ekonomi, tidak bekerja atau pun tidak berpendidikan. Caranya termasuk menyediakan makanan bermasak dan ada yang mengagihkan barangan harian. Walau pun FoodBank adalah amalan yang baik, dari segi politik, seringkali hal ini menjadi perbalahan. Sesetengah pihak berpendapat bahawa ia perkara yang baik dan usaha yang perlu diteruskan kerana menunjukkan semangat dan tanggungjawab kemasyarakatan yang tinggi. Manakala sesetengah lain berpendapat, bahawa ia menunjukkan kelemahan sistem pentadbiran sehingga orang perlu meminta-minta untuk makanan, selain makanan yang disediakan kurang bernutrisi.

PayItForward juga semakin popular di Malaysia, di mana seseorang membayarkan harga sesuatu barangan yang boleh diambil oleh sesiapa saja yang memerlukannya kemudian. Tentu anda pernah terbaca kisah seorang lelaki tua yang meminta kopi panas pada satu musim sejuk. Kopinya telah dibayar oleh orang asing, dan perkara ini telah menjadi kebiasaan di restoran itu sejak hari itu.

Dalam islam, konsep yang sama dipanggil sedekah. Sedekah boleh jadi dalam apa juga bentuk, tidak semestinya wang ringgit. Mungkin bantuan tenaga, mungkin belanja makan, mungkin juga sekadar sebuah senyuman! Baru sebentar tadi seorang kawan menegur, katanya saja nak bagi tahu ~ yang awak share link belajar bahasa percuma di Facebook tu saya dah guna. Suka sangat!

Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada sesiapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui.

(Al Baqarah : 261)

Dengan kerjasama D’Ansar Mart dan Maidah Cuisine, AnsarCARE sangat mengalu-alukan sumbangan anda. Bantulah kami, membantu lebih ramai orang yang memerlukan. #PayItForwad #FoodBank